Menurut kenyataan media Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sebelum  perluasan perlindungan itu, seorang isteri atau suami yang diambil bekerja oleh pasangannya dalam perusahaan di bawah Akta 4 dan Akta 800 tidak layak berdaftar dan mencarum sebagai 'pekerja', di mana keadaan ini menyebabkan tiada perlindungan keselamatan sosial kepada mereka di bawah kedua-dua Akta tersebut.

"Melalui  perluasan perlindungan ini, seorang isteri atau suami yang diambil bekerja oleh pasangannya dalam perusahaan di bawah Akta 4 dan Akta 800 akan mendapat perlindungan keselamatan sosial di bawah kedua-dua Akta."

Di bawah Akta 4, faedah perlindungan berkenaan meliputi faedah perubatan; faedah hilang upaya sementara; faedah hilang upaya kekal; faedah orang tanggungan; pencen ilat; bantuan ilat; pencen penakat; faedah pengurusan mayat; elaun layanan sentiasa; kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional, termasuk Program Kembali Bekerja (RTW) dan faedah pendidikan.

Perlindungan keselamatan sosial di bawah Akta 800 pula meliputi elaun mencari pekerjaan; elaun bekerja semula awal; elaun pendapatan berkurangan; elaun latihan;  fi latihan dan program penempatan pekerjaan semula.

Majikan terlibat yang mengambil pasangannya bekerja dalam perusahaan di bawah Akta 4 dan Akta 800 wajib mendaftar dan mencarum dengan PERKESO mengikut kaedah dan kadar caruman yang telah ditetapkan di bawah kedua-dua Akta tersebut mulai 1 Julai ini.

Kegagalan berbuat demikian merupakan satu kesalahan dan jika disabitkan dengan kesalahan tersebut, mereka boleh dikenakan tindakan penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali. - Bernama