Perjanjian air adalah antara isu yang dibincangkan Mahathir dengan rakan sejawatan beliau dari Singapura, Lee Hsien Loong semasa Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-9 di sini hari ini.

Malaysia dan Singapura terikat di bawah Perjanjian Air Sungai Johor 1962. Bagi Malaysia, menyelesaikan isu yang lama tertangguh berkaitan semakan semula harga air merupakan satu keutamaan.

"Kami mengadakan perundingan yang aktif berkaitan semakan semula itu pada lewat tahun 90-an dan  2000," kata Mahathir pada sidang akhbar yang penuh sesak, dengan turut dihadiri Hsien Loong, selepas pemukiman itu.

Isu berhubung perjanjian air antara kedua-dua negara kembali menjadi topik panas pada pertengahan tahun lepas apabila Mahathir berkata, harga air mentah yang dijual kepada Singapura tidak munasabah dan beliau bercadang untuk merundingkan semula terma perjanjian.

Perjanjian itu, yang berakhir pada 2061, memberi hak kepada Singapura untuk mengeluarkan 250 juta gelen sehari (mgd) air mentah dari Sungai Johor pada kadar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen.
Johor kemudian membeli semula air terawat daripada republik itu pada kadar  50 sen bagi setiap 1,000 gelen. - Bernama