Beliau berkata dengan pelanjutan itu, mereka yang tinggal di kawasan terbabit diminta berada di dalam rumah dan tidak dibenarkan memasuki kawasan perairan antara 6 petang hingga 6 pagi sepanjang tempoh berkenaan.

Ramli berkata perintah berkurung itu meliputi kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.
"Orang lain tidak dibenarkan memasuki atau berada di kawasan yang telah diisytiharkan antara 6 petang sehingga 6 pagi pada tarikh dinyatakan," katanya dalam kenyataan di sini  hari ini.

Menurutnya perintah berkurung itu dilanjutkan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau-pulau peranginan.

Katanya perintah berkurung itu juga adalah untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan serta rakyat yang berada di kawasan daratan Esszone.

Ramli berkata berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik untuk mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh bagi melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan.

Beliau berkata perintah berkurung itu juga bagi memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran kapal anggota keselamatan di sekitar kawasan mereka.

"Saya juga memberi kuasa kepada semua ketua polis daerah di daerah Esszone untuk mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung," katanya. - Bernama