Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia juga akan terus memperjuangkan nasib rakyat Palestin dengan menggunakan segala saluran yang ada termasuk diplomatik termasuk memberi bantuan kewangan kepada negara tersebut.  

“Kita akan gunakan segala saluran yang ada supaya satu hari nanti bumi Baitulmuqaddis akan menjadi hak milik mutlak rakyat Palestin,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan HImpunan Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis di Masjid Putra di sini hari ini.

Himpunan tersebut telah berjaya menarik ribuan umat Islam dan bukan Islam daripada pelbagai latar belakang termasuk wakil pertubuhan bukan kerajaan dan parti-parti politik.

Majlis tersebut akan dimulakan dengan Forum Khas yang terdiri daripada Duta Palestin Ke Malaysia, Datuk Dr. Anwar H. Al Agha; Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, Datuk Saifuddin Nasution; Naib Presiden PAN, Hasanuddin Mohd. Yunus; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM,  Dr Muhammad Faiz Na’aman dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr. Yusri Mohamad.

Moderator bagi forum tersebut ialah Pengerusi Majlis Dakwah Negara, Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid.

Selepas forum tersebut selesai, jemaah akan menunaikan solat jumaat yang akan diimamkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan selepas itu akan diadakan solat hajat.

Sebaik sahaja selesai, semua jemaah akan bergerak ke perkarangan Masjid Putra dan dimulakan dengan ucapan daripada Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula akan memberikan ucaptama pada perhimpunan tersebut.

Perhimpunan itu diakhiri dengan bacaan doa khas oleh Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil dan majlis menandatangani kain rentang bantahan oleh Najib serta pelancaran tabung khas Palestin yang akan dikoordinasikan oleh Wisma Putra untuk diserahkan kepada Kerajaan Palestin. - K! ONLINE