Haiwan yang dianggarkan berusia kira-kira 15 tahun dengan berat dua tan itu ditembak dengan menggunakan ubat pelali sebelum berjaya ditangkap pada pukul 9 pagi.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohd. Hasdi Husin berkata, gajah yang memiliki ukuran tapak kaki 40 sentimeter itu dikesan berada dalam kebun getah milik penduduk sebelum operasi menangkap dilakukan.

“Seramai enam kakitangan berusaha untuk membuat tangkapan di sebuah kebun getah penduduk di kampung tersebut dan kita percaya gajah ini adalah salah seekor daripada 10 ekor mamalia itu yang dilihat masuk ke kawasan kampung.

“Kumpulan haiwan tersebut dipercayai datang dari Hutan Simpan Gunung Basor dan tersesat memasuki kampung untuk mendapatkan makanan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya lagi, haiwan tersebut akan dipindahkan dalam masa terdekat dan usaha itu akan dilakukan dengan bantuan gajah denak dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Kuala Gandah, Pahang.

“Orang ramai yang melihat serta terserempak dengan haiwan itu diingatkan agar tidak mengambil tindakan sendiri, sebaliknya melaporkan kejadian itu kepada kami,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Rahimah Hasin, 57, berkata, itu merupakan kali pertama tanaman di kebun getah tersebut diganggu haiwan berkenaan sejak lima tahun dia menoreh di situ.

“Perasaan takut memang ada, tetapi saya tetap kena menoreh untuk mencari rezeki. Sebelum ini saya selalu dengar kejadian sama berlaku di kampung lain namun kebelakangan ini haiwan ini kerap memasuki kawasan kampung ini sejak sebulan lalu.

“Kini, saya berasa sedikit lega bersyukur kerana salah seekor haiwan ini telah ditangkap,” katanya. - K! ONLINE