Ketua Pengarah Perhilitan Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Pasir Akar, Besut oleh anggota terbabit.

"Jabatan Perhilitan akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan pihak PDRM bagi menyiasat punca kemalangan ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4.35 pagi itu, Mohd Saiful Bahri Sulaiman, 29, terkena tembakan di bahagian  pinggang dan lengan kiri semasa operasi di ladang kelapa sawit, Kampung Padang Buloh, Pasir Akar, Hulu  Besut.

Mohd. Saiful Bahri adalah jurupandu arah kepada dua anggota Perhilitan daerah Besut dalam operasi memburu babi hutan setelah jabatan itu menerima aduan mengenai konflik hidupan liar di kawasan berkenaan.

Menjelas lanjut, Abdul Kadir berkata, ketika kejadian, satu tembakan ke arah babi hutan telah dilepaskan dan ketika hendak melakukan tembakan susulan, kakitangan Perhilitan tersebut tergelincir dan jatuh lalu tertembak Mohd. Saiful Bahri.

Katanya, mangsa segera dibawa di Hospital Jerteh untuk menerima rawatan dan seterusnya dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut. - Bernama