Sisik tenggiling itu dilupuskan menggunakan kemudahan di pusat rawatan dan pelupusan sisa bahan terjadual negara, Kualiti Alam Sdn. Bhd. dekat sini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar berkata, sisik tenggiling yang dilupuskan itu hasil rampasan JKDM dalam tiga operasi di Selangor tahun lalu.

"Ia hasil penguatkuasaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLlA) di Sepang dan Pelabuhan Barat Klang. Sisik tenggiling itu yang menjadi barang kes mendapat perintah pelupusan daripada mahkamah.

"Ia dilupuskan seperti diperuntukkan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) bagi memastikan ia tidak akan kembali ke pasaran gelap," katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan pelupusan sisik tenggiling itu hari ini.

Xavier Jayakumar berkata, sisik tenggiling itu dilupuskan menggunakan kaedah sistem insinerator melalui teknologi tanur berputar yang beroperasi pada suhu melebihi 1,000 darjah celsius.

Beliau menjelaskan, populasi tenggiling semakin terancam kerana diburu untuk dijadikan sebagai makanan eksotik dan bahan pembuatan ubat tradisional.

Kata beliau, Malaysia menjadi transit pasaran gelap sisik tenggiling dari negara-negara Afrika seperti Ghana dan Cameroon untuk dihantar ke negara seperti China, Vietnam dan Hong Kong.

Tambah beliau, harga sisik tenggiling adalah antara RM500 hingga RM600 sekilogram dan melonjak sehingga RM13,000 jika dijual kepada pasaran gelap di luar negara.

"Berdasarkan siasatan pihak berkuasa, tenggiling hidup berharga RM4,165 (AS$1,000) seekor mengikut saiz manakala dagingnya bernilai RM1,249 (AS$300) sekilogram.

"Bagi membanteras pasaran gelap tenggiling, Malaysia akan meminta kerjasama negara lain seperti China untuk sama-sama menghentikan perdagangan haram hidupan liar," ujarnya. - K! ONLINE