Pengarah Perhilitan Melaka, Mohd. Hasdi Husin berkata individu yang dikesan bergambar dengan bangkai hidupan terancam itu diminta segara datang ke pejabat Perhiltan bagi membantu siasatan mengenal pasti punca kematian haiwan itu.

"Jika mereka masih tidak tampilkan diri, kita akan minta nasihat daripada pihak pendakwaraya bagi mendapatkan arahan waran tangkap terhadap mereka dan ini akan menyulitkan lagi keadaan,"katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohd. Hasdi berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 68(2)(c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan jika disabitkan kesalahan boleh  dikenakan hukuman denda maksimum RM500,000 dan penjara sehingga lima tahun atas kesalahan memburu tanpa permit khas.

Media semalam melaporkan pihak Perhilitan sedang mengesan beberapa individu yang bergambar bersama bangkai seekor harimau dahan dan tular dalam laman sosial Facebook di Kampung Kemuning, Alor Gajah baru-baru ini.

Sebelum ini beberapa keping foto tular dalam laman sosial menunjukkan beberapa individu termasuk lelaki warga asing dan anggota pasukan keselamatan bergambar bersama bangkai seekor harimau dahan di satu kawasan ladang.

Mohd. Hasdi berkata, bagi mengelak kejadian yang sama berulang, beliau menasihati orang ramai agar segera menghubungi Perhilitan sekiranya terjumpa bangkai atau hidupan liar yang mengalami kecederan.

Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau berkata masih terdapat segelintir peminat kucing yang tidak mengetahui bahawa membela dan menjual kucing batu (Asian Leopard Cat) tanpa permit adalah salah dari segi undang-undang.

Katanya, kucing batu ataupun lebih dikenali sebagai kucing hutan oleh masyarakat awam dilindungi di Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. - Bernama