Kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu menyebabkan mangsa, S. Kartik, 22, yang berasal dari Taman Bukit Bendera, Mentakab, Pahang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan termasuk kepala.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, siasatan awal pihaknya mendapati ketika kejadian mangsa yang memandu kereta jenis Honda Accord dalam perjalanan dari Klang ke Kuala Lumpur selepas melawat bapa saudaranya.

"Setibanya di lokasi kejadian, kereta yang dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar penghadang jalan.

"Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak keluar dari keretanya dan mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian badan termasuk kepada. Dia sahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,"katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shafien berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk bedah siasat dan mayat mangsa telah dituntut oleh ahli keluarganya kira-kira 1.30 petang tadi.

"Kita masih mengesan saksi bebas kemalangan tersebut dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh terus menyalurkannya ke ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di talian 03-55202222 atau pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Hasrul Suhiami di talian 011-3121 5697,"ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE