Rizalman melalui laman sosial Instagramnya memaklumkan Tunku Azizah telah memasak lima jenis lauk dalam masa sejam setengah sahaja.

"Lima jenis lauk itu adalah gulai nenas udang, asam pedas ayam daun kesom, pindang serani ikan jenahak, ikan bilis masak kicap dan sayur buncis udang kering," jelas beliau melalui live Instagram sebentar tadi.

Semalam melalui Instastory pula, Rizalman turut menyiarkan bagaimana baginda memasak di dapurnya dengan cara sendiri.

"Saya benar-benar terharu dengan keberangkatan baginda yang tidak lokek di dapur termasuk membuka plastik dengan gigi," cerita Rizalman lagi.

Katanya, Tunku Azizah turut memberi tips masakan dan membawa sendiri beberapa bahan memasak termasuk asam jawa yang hanya terdapat di negara Filipina.

"Rasa asam jawa itu memang sedap sebab itulah masakan baginda lain dari yang lain, sudah tentu saya sendiri akan mencarinya nanti," jelasnya.

Rizalman memberitahu, kehadiran Tunku Azizah di kediamannya dirasakan bagai sebuah mimpi menjadi kenyataan.

Katanya, beliau tidak pernah menyangka Raja Permaisuri sudi mencemar duli memasak bersama dirumahnya.

"Kenangan ini tidak akan saya lupakan kerana ia seperti satu kurniaan Ilahi.

"Saya seperti tidak percaya peristiwa indah ini berlaku, jika anda seperti tidak percaya, apatah lagi saya yang berdiri sebelah dan memasak bersama dengan Tunku," katanya.

Dalam pada itu, Rizalman turut berkongsi kenangan bibit perkenalan beliau dengan Tunku Azizah sejak belasan tahun lalu.

"Pada awalnya, saya sangat 'berkenan' dengan keperibadian dan penampilan puteri raja ini (Tunku Azizah) serta teringin untuk mengenali wanita ini selepas melihat wajah Tunku pada muka hadapan sebuah majalah.

"Bagaimanapun, syukur saya akhirnya dapat bertemu dan berkenalan dengan lebih rapat dengan Tunku Azizah tidak lama kemudian apabila baginda menempah baju dengan saya belasan tahun dahulu dan saya menjaga hubungan silaturrahim itu sehingga kini," ujarnya.

Tambah Rizalman, mereka berdua turut berkongsi minat dan cita rasa yang sama seperti dalam bidang fesyen dan hiasan rumah.

Rizalman sepanjang Ramadan lalu, memasak satu jenis hidangan setiap hari untuk tatapan pengikut Instagramnya.

Semalam beliau menamakan 'program memasak itu' Pung Pang Diraja kepada pengikutnya laman sosialnya yang telah melihatnya memasak juadah berbuka puasa sejak sebulan lalu. - K! ONLINE