Perdana Menteri berkata, dasar-dasar yang dilaksanakan dalam peperangan perdagangan ini akan menyebabkan pelabur-pelabur tidak dapat melabur di negara-negara tertentu sekali gus menguntungkan negara-negara yang tidak terlibat.

"Kita (Malaysia) tak terlibat (dalam peperangan perdagangan ini) dan ada kemungkinan mereka (pelabur) yang tak dapat pergi ke negara tertentu, mereka akan datang ke sini (Malaysia)," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Perang perdagangan di antara dua negara besar ini memuncak pada Rabu lepas apabila pentadbiran Amerika Syarikat meningkatkan tekanan ke atas China untuk konsesi perdagangan dengan mencadangkan tarif 25 peratus lebih tinggi terhadap import China bernilai AS$200 bilion.

Ditanya sama ada Malaysia sudah bersedia untuk menghadapi limpahan kemasukan pelaburan asing susulan peperangan perdagangan ini, Mahathir berkata: "Kita bersedia sepanjang masa. (Bagi) Perdagangan asing, kita sentiasa bersedia." - Bernama