Bagi TFC I pula, biar pun tewas kali pertama dalam saingan Piala Malaysia musim ini, ia tidak menjejaskan skuad tersebut yang sudah pun layak ke peringkat suku akhir lebih awal.

Penyerang import Perak, Gilmar Jose Da Silva muncul wira selepas meledak kedua-dua gol buat skuad Bos Gaurus.

Skuad kendalian Mehmed Durakovic berada di hadapan selepas Jose Da Silva berjaya melepaskan diri daripada perangkap offside sebelum melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gawang tuan rumah, Mohd. Suffian Rahman pada minit ke-21.

TFC I kemudiannya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi tandukan tajam penyerang, Abdul Malik Mat Ariff pada minit ke-82.

Begitu pun skuad Bos Gaurus tidak berputus asa dan berhasil mendapatkan jaringan kemenangan daripada sepakan lencongan tajam Jose Da Silva yang sekali lagi menewaskan Mohd. Suffian pada minit ke-86. - K! ONLINE