Ketika membuat ingatan itu, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, perajurit muda perlu bertanggungjawab melaksanakan tugas sebagaimana yang dilafazkan dalam ikrar sumpah taat setia kepada Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong dan TUDM.

Selain itu, katanya, tindakan tegas termasuk ditamatkan perkhidmatan akan dikenakan terhadap pegawai dan anggota TUDM sekiranya didapati bersalah melakukan sebarang perbuatan yang melanggar etika, peraturan dan undang-undang negara.      

"Pengurusan TUDM tidak akan berkompromi dengan semua peringkat anggota yang melakukan tindakan bertentangan dengan perundangan perkhidmatan dan undang-undang sivil.

"Perbuatan sedemikian merugikan diri sendiri kerana rekod perkhidmatan yang buruk akan menjejaskan peluang untuk mendapat pekerjaan lain," katanya ketika berucap pada majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda TUDM Siri 58/2018 di Akademi Tentera Udara Ipoh di sini hari ini. - Bernama