Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya telah dihubungi oleh Polis Negara Republik Indonesia (Polri) bagi memaklumkan tentang penahanan tersebut.

"Setakat ini saya masih belum menerima laporan lengkap berhubung penahanan tersebut namun saya dimaklumkan bahawa seorang lelaki rakyat Malaysia yang berasal dari Tawau, Sabah telah ditahan oleh pihak berkuasa negara Indonesia.

"Ini (penahan rakyat Malaysia) berbalik kepada kenyataan saya sebelum ini mengatakan bahawa keadaan dadah di negara ini berada pada tahap kritikal," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian Majlis Pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Maktab PDRM di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, siasatan lanjut sedang dilakukan pihaknya bagi mengenalpasti sekiranya suspek mempunyai kaitan dengan rangkaian sindiket pengedaran dadah di negara ini.

“Setakat ini, kita masih meneliti maklumat yang diperolehi oleh pihak POLRI bagi mengenal pasti rangkaian penyeludupan dadah berkenaan.

“Suspek kini masih berada di negara berkenaan untuk siasatan lanjut,” ulasnya ringkas.

Terdahulu, portal berita Indonesia melaporkan tentang penahanan lima individu termasuk seorang rakyat Malaysia di Kalimantan Timur kerana didapati menyeludup enam Kilogram (kg) dadah dipercayai jenis syabu bernilai kira-kira RM264, 000.

Kegiatan lelaki itu bagaimanapun dapat dihidu pihak berkuasa Indonesia yang kemudiannya menahan kenderaan yang dinaiki mereka sebelum melakukan pemeriksaan dan menemui barangan seludup berkenaan.

Difahamkan, rakyat Malaysia tersebut didakwa sebagai dalang yang berperanan menguruskan proses penyeludupan dadah berkenaan ke negara jiran itu melalui jalan air untuk dipasarkan kepada penagih di sana. - K! ONLINE