Kassim, 84, atau lebih dikenali sebagai Kassim Selamat menghembuskan nafas terakhir pada pukul 3.30 petang di rumahnya di Yishun.

Penyanyi utama Kumpulan The Swallows itu meninggalkan seorang isteri, Radiah Hadar dan empat orang anak.

Anak perempuannya Kasmawati Kassim berkata, bapanya menghidap sakit dementia sejak lapan tahun yang lalu.

“Ibu yang setia menjaga bapa di rumah,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut Kasmawati, jenazah bapanya akan dikebumikan pada esok pagi di Pusara Aman, Lim Chu Kang di sini.

Dilaporkan Kassim menggantikan Allahyarham Datuk Ahmad Daud sebagai penyanyi utama kugiran tersebut yang pada awalnya dikenali dengan lagu Si Manis 17.

Kumpulan The Swallows yang pernah terbabit dalam persembahan muzikal Suzana@60-an di Istana Budaya pada tahun 2006, turut pernah mengiringi Allahyarham Biduanita Datin Rafeah Buang.

Kumpulan itu mempunyai keunikannya tersendiri kerana mereka turut mempersembahkan lagu dalam bahasa Bawean.

Selain lagu La Obe dan Nga lompak AGo Go, lagu-lagu nyanyian kugiran tersebut termasuklah Angkok Angkok Bilis, La Karebna, Leh Paju Molle dan La Ngomber. - Bernama