Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusuf berkata, dompet tersebut mengandungi 11 keping wang kertas RM100 palsu dengan nombor siri BX4937733. 

"Wang palsu itu ditemukan juruwang kedai tersebut selepas kejadian samun yang didakwa berlaku pada  11.30 malam, 20 Ogos lepas," katanya ketika ditemui di sini, hari ini. 

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan. 

Sementara itu, dalam kes berasingan, Beliau berkata dua lelaki membuat laporan polis kerana diugut peminjam wang tanpa lesen atau Ah Long ekoran kegagalan menjelaskan bunga pinjaman. 

Mohd Wazir berkata mangsa berusia 48 tahun dan bekerja sebagai juruteknik mendakwa telah membayar RM2,700 daripada RM3,000 yang dipinjamnya, namun dimaklumkan jumlah pinjamannya telah meningkat. 

"Mangsa diarahkan membayar bunga pinjaman sebanyak RM6,000 dan suspek dikenali sebagai Kenny telah mengunci pintu rumahnya pada Khamis lepas kerana tidak berbuat demikian," katanya. 

Seorang lagi mangsa, katanya iaitu tukang masak berusia 22 tahun yang mengakui membuat pinjaman sebanyak RM3,000 daripada Ah Long pada 8 Ogos, telah membuat laporan polis selepas rumahnya disimbah cat disyaki dilakukan Ah Long terbabit pada Khamis lepas. 

"Mangsa mendakwa menerima wang tunai RM2,300 daripada suspek yang dikenali sebagai Weng dan telah membuat bayaran balik sebanyak RM600 pada Rabu, bagaimanapun mangsa diugut untuk membuat bayaran  penuh, namun gagal. 

Mohd Wazir berkata kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM1 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama