Dalam serbuan pukul 1 petang itu, suspek berusia 33 tahun ditahan bersama kesemua barangan yang dicuri kira-kira empat jam selepas menceroboh sebuah bangunan kerajaan pada hari yang sama.

Terdahulu, kira-kira pukul 6 pagi, suspek yang juga bekas kakitangan kerajaan telah menceroboh bangunan kerajaan di Jalan UMS di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M. Chandra yang mengesahkan kejadian berkata, suspek melarikan sebuah telefon pintar jenama Iphone dan wang tunai sebanyak RM560.

"Suspek telah menceroboh bangunan kerajaan pada pukul 6.45 pagi dan melarikan barang serta wang tunai milik seorang pekerja awam.

"Hasil maklumat yang diperolehi, polis melakukan risikan dan berjaya menahan suspek di tapak letak kenderaan Wisma Budaya di sini kira-kira empat selepas kejadian," katanya di sini hari ini.

Menurut Chandra, polis turut merampas sebuah beg silang, telefon pintar Samsung, sebuah dompet dan sekeping kad pengenalan diri Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan atas nama suspek.

"Saringan ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah. Dia melakukan aktiviti jenayah itu sendirian," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE