Menteri Tenaga Manusia, M. Kulasegaran berkata, perkara itu amat membimbangkan kerana jika berterusan ia boleh merencatkan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai negara berkemahiran tinggi.

Beliau berkata, walaupun negara mempunyai banyak kolej yang mengajar Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), namun kekangan kewangan dipercayai antara punca penurunan jumlah kemasukan pelajar ke institusi terlibat.

"Penurunan kemasukan pelajar itu perlu diteliti dan saya akan bangkitkan isu ini pada mesyuarat Kabinet kelak kerana kita mahu menghasilkan pekerja berkemahiran tinggi seterusnya mengupayakan mereka," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Tamil Malaysia di sini, hari ini.

Dalam pada itu, pihaknya sedang mengkaji semula dasar gaji minimum yang diguna pakai sekarang untuk mengutamakan hak rakyat Malaysia dalam sektor pekerjaan dan perinciannya akan diumumkan Isnin ini. - Bernama