Dalam kejadian pada pukul 6.30 petang itu, mangsa, Nun Arimanshah Zainun, 51, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, siasatan awal mendapati mangsa telah melanggar bahagian belakang sebelah kanan kereta jenis Perodua Axia sebelum meninggal dunia.

“Kita difahamkan kenderaan yang dipandu oleh Mohamad Zul Khalili Azali, 27, telah berhenti di laluan kecemasan akibat kerosakan tayar hadapan sementara menunggu bantuan tiba.

“Selepas Mohamad Zul memasang segi tiga keselamatan sejauh tiga meter dari belakang keretanya, mangsa kemudian telah melanggar bahagian belakang kenderaan tersebut sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, motosikal mangsa jenis Yamaha FZ150 mengalami kerosakan pada bahagian hadapan sementara kereta terbabit rosak pada bahagian belakang sebelah kanan.

"Pemandu kenderaan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat mangsa telah dihantar ke hospital berdekatan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memandu secara melulu,” ujarnya. - K! ONLINE