Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa, Muhammad Hairi Che Pa, 35, disahkan maut di tempat kejadian selepas diseret sejauh kira-kira 2 km oleh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina yang melanggarnya. 

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Anuar Bakri Abdul Salam berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Suzuki GSX (K1) hilang kawalan dan terbabas apabila tiba di lokasi kejadian.

"Mangsa yang beralamat di Taman Bukit Beruang Utama, Melaka kemudian terjatuh di lorong tengah lebuh raya sebelum dilanggar sebuah kenderaan jenis Nissan Grand Livina yang sedang bergerak di laluan sama. 

"Pemandu Nissan Grand Livina iaitu seorang lelaki berusia 50 tahun hanya menyedari telah melanggar mangsa selepas kenderaannya itu tiba-tiba bergerak perlahan sebelum menghentikan kenderaan tersebut di lorong kecemasan untuk membuat pemeriksaan,"
katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Anuar Bakri berkata, penunggang motosikal itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kemalangan, manakala pemandu dan penumpang Nissan Grand Livina tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kata beliau, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Daerah Tampin untuk bedah siasat selepas dikeluarkan dari bawah Nissan Grand Livina itu oleh pasukan bomba dan penyelamat 

Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.