Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, sebanyak 27,296 kes telah dilapor antara Januari hingga 30 Jun lalu berbanding 21,303 kes pada tempoh yang sama tahun lalu.

"Bilangan kes di 12 buah negeri telah melepasi paras amaran kecuali di Johor, Sabah dan Sarawak. 

"Paras amaran adalah purata bilangan kes HFMD untuk lima tahun kebelakangan dan nilainya berbeza-beza mengikut bilangan kes HFMD bagi setiap negeri," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, penyakit HFMD mudah menjangkiti orang lain terutamanya kanak-kanak di premis seperti taska dan tadika. 

"Ia disebabkan oleh enterovirus dengan majoriti kes disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus-71 (EV71). 

"Virus ini merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis. Kebiasaan jangkitan adalah ringan (mild) dengan gejala demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah. 

Beliau memberitahu, hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh hingga 10 hari. 

"Bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis," katanya.

Noor Hisham turut menambah, tiada ubat atau vaksin yang boleh mencegah jangkitan penyakit HFMD. 

"Bagi menghalang sebaran virus HFMD, pihak kementerian menggesa orang ramai khususnya pengusaha dan penjaga kanak-kanak di taska, tadika, tabika atau prasekolah supaya sentiasa memastikan kebersihan premis terutamanya peralatan yang digunakan oleh kanak-kanak termasuk meja, kerusi serta alatan mainan.

"Kami juga ingin menasihatkan ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan HFMD supaya memastikan anak berada di rumah dan tidak membawa mereka ke tempat-tempat awam kerana ia  boleh merebakkan jangkitan," katanya.

Sehingga kini, sebanyak 341 buah taska, tadika, tabika atau prasekolah telah melaporkan kluster HFMD di premis masing-masing iaitu 50 peratus daripada jumlah wabak yang dilapor pada tahun ini. - K! ONLINE