Tertuduh, Mohamad Romzi Zahari, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Mengikut 24 pertuduhan, tertuduh yang merupakan Penolong Kanan HEM di Sekolah Kebangsaan Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar, Gerik didakwa pecah amanah selepas mengambil wang RM11,550 untuk kegunaan sendiri di pejabatnya di sekolah berkenaan antara Julai hingga September 2013.

Wang berkenaan merupakan sebahagian daripada RM349,650 yang merupakan peruntukan Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin bagi tahun 2013 yang sepatutnya diserahkan kepada 24 penjaga murid sekolah itu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Mohamad Romzi turut didakwa atas 24 pertuduhan memalsukan dokumen iaitu Borang Akuan Penerimaan Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin bagi tahun 2013 ke atas 24 murid terbabit dengan niat supaya dokumen palsu tersebut digunakan bagi tujuan menipu di lokasi dan masa yang sama.

Bagi pertuduhan tersebut, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan. - K! ONLINE