Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, penjimatan kos bagi pihak kerajaan itu bagaimanapun tidak menjejaskan keberkesanan projek berkenaan kepada rakyat dan memenuhi standard piawaian yang ditetapkan.

"Yang lebih penting kalau lihat skop asal, ia LRT tetapi stesennya macam Transit Aliran Massa (MRT), mengapa kita buat LRT tetapi nak buat stesen macam MRT, apa maksudnya? Bukankah ini satu pembaziran yang kita tak perlu tanggung buat masa ini?" katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang ingin tahu sama ada langkah kerajaan ini boleh dikira sebagai satu penjimatan sedangkan banyak skop asal projek telah dikurangkan spesifikasinya.

Sebagai langkah penjimatan, Guan Eng antara lain berkata projek LRT3 sepanjang 37 kilometer akan hanya melibatkan pembelian 22 set 3-koc berbanding 42 set 6-koc sebelum ini dan tempoh siap pembinaan dilanjutkan daripada 2020 ke 2024.

Guan Eng menyifatkan penjimatan kos projek berkenaan yang kini dianggarkan hanya sebanyak RM16.63 bilion berbanding sebelum ini RM31.65 bilion, adalah satu kejayaan besar kerajaan Pakatan Harapan. - Bernama