Beliau berkata, bagaimanapun,perkara lanjut berhubung pemberian bantuan itu akan diumumkan oleh Setiausaha Kerajaan negeri Johor, Datuk Azmi Rohani.

"Bantuan berkenaan akan diagihkan menjelang sambutan hari raya," katanya kepada pemberita selepas program Singgah Sahur Kelab Media Johor (KMJ) 2019 yang turut disertai lebih 50 pengamal media daripada pelbagai agensi di sini awal hari ini.

Difahamkan, lebih 16,000 penjawat awam di negeri ini bakal menerima bantuan berkenaan.

Mengikut rekod, ketika membentangkan Belanjawan Johor 2019, November tahun lepas, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, kerajaan Johor bersetuju memberikan bantuan khas kewangan berjumlah RM1,500 kepada penjawat awam di negeri ini tahun ini.

Bantuan kepada penjawat awam negeri dan penjawat awam persekutuan yang dibayar gaji oleh kerajaan Johor berjumlah RM1,000, dibayar pada awal Januari tahun ini manakala baki RM500 akan diberikan sempena sambutan Aidilfitri.

Sementara itu, Sahruddin yang mengetuai konvoi Singgah Sahur berkenaan memuji penganjuran program seumpama itu. - K! ONLINE