Beliau  berkata sebagai  kelompok yang bertanggungjawab memacu pembangunan negara, penjawat awam harus mematuhi semua peraturan yang ditetapkan termasuklah mereka yang terlibat dalam politik. 

"Kita percaya kakitangan awam bijak dalam menentukan kehendak mereka sendiri...keluarlah mengundi dan siapa yang belum berdaftar sebagai pengundi, pergilah daftar dengan segera," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Wacana Khas Transformasi Nasional 2050 (TN50) Zon Utara di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda. 

Mengulas Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2017 yang dibentangkan kerajaan pada Jumaat, Zainal Rahim berkata laporan itu menujukkan bahawa setiap tahun, kerajaan mempunyai perancangan kemajuan ekonomi dan pembangunan yang pesat. 

"Kita lihat beberapa segmen dalam laporan itu menunjukkan kita berjaya dari satu tahap ke satu tahap, contohnya, dari segi pencapaian volum ekonomi, kita sudah capai RM1.7 trilion...dengan langkah-langkah yang kita buat, kita boleh sampai RM3 trilion," katanya. 

Sehubungan itu, beliau meminta sektor awam memainkan peranan yang sama penting dengan swasta dalam membantu kerajaan untuk mengekalkan momentum cemerlang pada masa hadapan. 

Mengenai cadangan peserta wacana supaya kerajaan mewujudkan  Insurans Perlindungan  Perkhidmatan Awam,  Zainal Rahim meminta Cuepacs supaya mengkaji perkara itu dengan mendalam terlebih dahulu.

Pada masa ini, katanya, kerajaan menyediakan bantuan perubatan yang luas untuk penjawat  awam termasuk kepada anggota keluarga mereka serta pesara dan penjawat awam berstatus kontrak.

"Kalau kita amalkan konsep seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), yang ada sumbangan daripada majikan dan pekerja, kita harus timbangkan pula kesan kewangan terhadap penjawat awam jika kita buat (caruman) insurans sedemikan," katanya. - Bernama