Pengarah Penjara Kelantan, Hamzani Che Ibrahim berkata, penjara tersebut yang dibina pada tahun 1951 sebenarnya hanya boleh memuatkan seramai 1,500 banduan sahaja.

Beliau berkata, pihaknya berusaha meningkatkan tahap keselamatan penjara berkenaan dan telah memohon pembinaan pagar anti-panjat yang dilengkapi dengan sistem televisyen litar tertutup (CCTV).

"Penjara ini adalah antara beberapa buah penjara dalam negara yang mengalami lebihan kapasiti tetapi saya rasa kadar lebihan kita yang mencapai 100 peratus adalah yang tertinggi sekali.

"Setakat ini kita hanya ada kemudahan pagar anti-panjat untuk bahagian blok wanita sahaja, kita mempunyai sebanyak 200 banduan wanita manakala bakinya adalah lelaki," katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Penjara Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyaksikan upacara menandatangani dokumen serah terima tugas antara bekas Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, Kamarul Alam Talib dengan pengarah baharu, Mat Yaacob.

Mat, 52, yang sebelum ini bertugas sebagai Pengarah Pusat Koreksional Dungun, Terengganu menggantikan tempat Kamarul Alam, 54 yang akan berpindah ke ibu pejabat Jabatan Penjara Malaysia.

Sementara itu, Hamzani berkata, antara usaha yang dijalankan untuk mengurangkan masalah kesesakan banduan adalah melalui sistem parol dan pusat kehadiran wajib.

"Seramai 100 banduan menjalani sistem parol di mana mereka boleh tinggal di luar bersama keluarga, malah kita juga bekerjasama dengan Felda Chiku 7, Gua Musang yang memberi peluang banduan parol bekerja di ladang sawit dengan jumlah penyertaan pada masa ini seramai 12 orang.

"Sejak November 2017 seramai 45 banduan parol telah berpeluang bekerja di sana," katanya. - K! ONLINE