Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini berkata, kementerian mengamalkan prinsip meritokrasi dalam pengambilan pelajar.

"Berdasarkan prinsip ini, semua calon yang layak dengan markah merit tertinggi tanpa mengira kaum, agama, negeri, taraf hidup dan tempat tinggal diberi peluang untuk mengikuti pengajian di IPTA (institusi pendidikan tinggi awam)," katanya.

Menjelas lanjut, KPM berkata, calon-calon yang layak dan memenuhi syarat am dan syarat khas program pengajian serta kriteria pemilihan yang telah ditetapkan akan dipertimbangkan berdasarkan kepada pilihan program pengajian yang dipohon.

Katanya, proses pemilihan pelajar bergantung kepada pengiraan markah merit iaitu 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum. - Bernama