Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zainal Azman Ab. Aziz menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Mohamad Zulkifli Ismail, 52, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohamad Zulkifli didakwa membunuh Zulkefle Abdullah, 40, di kawasan rumah tidak bernombor di Jalan Kemaman-Dungun, Kampung Labohan Kerteh, Kemaman pada pukul 10.30 pagi, 7 Disember 2015.

Bapa kepada tiga orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, Mohamad Zulkifli didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Faizul Awang, 33, dengan menggunakan sebilah parang di tempat dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Tertuduh dijatuhi hukuman mati mandatori bagi pertuduhan pertama sementara bagi pertuduhan kedua, Mohamad Zulkifli diperintah menjalani hukuman penjara 14 tahun dari tarikh tangkap. - K! ONLINE