Pekerja kedai gambar, Wan Chan Foong, 39, berkata, dia sekeluarga mengalami demam dan sakit sendi yang teruk kira-kira dua minggu lalu.

"Hasil pemeriksaan di Hospital Sutanah Bahiyah (HSB) di sini mengesyaki saya, isteri, dua anak serta kedua-dua ibu bapa saya disyaki menghidap Chikungunya.

"Kami mengalami demam dan sakit sendi yang teruk terutama pada waktu malam sehingga tidak boleh bergerak selama kira-kira seminggu," katanya ketika ditemui di deretan rumah kedai di sini hari ini.

Katanya, dia sekeluarga kini sudah pulih dan hanya perlu menunggu keputusan ujian darah bagi mengesahkan sama ada gejala dialami adalah disebabkan penyakit Chikungunya atau penyakit lain.

"Saya berharap semua lokasi yang berisiko menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes seperti longkang-longkang yang tersumbat dibersihkan segera bagi mengelakkan penyakit ini daripada terus merebak," ujarnya.

Peniaga rempah-ratus, Mohd. Yassim Naina Mohamed, 62, pula berkata, kes penularan Chikungunya tidak pernah berlaku di kawasan perniagaan tersebut.

"Saya baru tahu berlaku penyakit ini di kawasan ini pada pagi tadi dan berharap pihak Jabatan Kesihatan negeri dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dapat memastikan semua lokasi pembiakan jentik-jentik dimusnahkan segera. 

"Bimbang juga sekiranya penyakit ini terus menular kerana saya dengar sudah 14 penduduk di kawasan premis ini disyaki menghidap penyakit itu," katanya.

Tambahnya, semua peniaga perlu memastikan premis perniagaan masing-masing bersih dan bebas daripada pembiakan jentik-jentik bagi mengelakkan penyakit tersebut terus menular.

Kosmo! Online hari ini melaporkan seramai 14 penduduk yang berada di deretan rumah kedai berhampiran pusat beli-belah City Plaza disyaki menghidap penyakit Chikungunya selepas mengalami demam, sakit sendi dan ruam dengan gejala awal bermula pada 9 Jun lalu. - K! ONLINE