Sebuah rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi 14 saat mengenai kejadian yang berlaku kira-kira pada pukul 3.40 petang itu mula tular di media sosial sejak semalam.

Video berkenaan menunjukkan seorang lelaki yang memakai baju T merah itu telah meluru ke arah mangsa sebelum menetaknya beberapa kali dan dia melarikan diri selepas isteri mangsa cuba menghalang tetakan lelaki tersebut.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, berdasarkan keterangan daripada isteri mangsa berusia 31 tahun itu, dia cuba menarik suaminya dari terus ditetak.

“Kejadian itu berlaku dengan pantas dan isteri mangsa tidak dapat mengecam wajah suspek kerana memakai topi keledar berpenutup penuh.

"Isteri mangsa yang cuba menghalang suspek bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu," katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Tambah Mohd. Ali, isteri mangsa mengesyaki kejadian itu ada kaitan dengan urusan perniagaan suaminya sebelum ini namun polis belum mendapatkan keterangan daripada mangsa kerana masih tidak sedarkan diri akibat pembedahan yang dijalankan. 

"Mangsa mengalami luka sepanjang tujuh sentimeter sehingga tulang rusuknya boleh dilihat di belakang badan selain cedera di kaki. 

“Tempat kejadian telah dilawati dan rakaman kamera litar tertutup telah diperiksa dan polis sedang mengenalpasti suspek," katanya. 

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata. - K! ONLINE