Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, dalam kejadian pada 30 November yang lalu, mangsa seorang pemuda berusia 26 tahun, telah dihubungi seorang lelaki yang bertanyakan tentang pemilikan kad kredit dengan nombor yang dinyatakan, namun telah dinafikan oleh mangsa.

"Mangsa memaklumkan dia memang mempunyai kad kredit tetapi bukan di atas nombor yang dinyatakan menyebabkan talian telefon berkenaan telah disambung ke bank negara dengan alasan kononnya ingin menyelesaikan masalah itu sebelum talian dipindahkan kepada seorang pegawai polis," katanya di sini hari ini.

'Pegawai polis' itu selepas itu telah meminta mangsa menukar 'barcodes' kad ATMnya dan tanpa disedari duit di dalam akaunnya telah dipindahkan secara berperingkat ke dalam akaun seorang lelaki bernama Winson Yong Wei Sen mengakibatkan mangsa mengalami kerugian RM14,296.

Susulan itu, katanya, mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Mentakab semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan. - Bernama