Tertuduh, Ridzuan Mat Nor, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim G.Ramesh.

Berdasarkan pertuduhan pertama, lelaki terbabit didakwa menggunakan empat keping wang RM100 dengan megetahuinya palsu sebagai tulen kepada Madzar Abd. Aziz di Jalan Lenggeng-Broga Ulu Beranang dekat Nilai pada pukul 11.30 pagi, 3 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan dua keping wang RM100 dengan mengetahuinya palsu sebagai tulen kepada Rosli Ismail di simpang Jalan Kampung Tengah, Lenggeng dekat Nilai pada pukul 9.30 pagi, 9 Ogos lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Pihak pendakwaan juga tidak menawarkan wang jaminan bagi kesemua pertuduhan namun, memohon wang jaminan tinggi jika mahkamah membenarkan.

Tertuduh yang memakai baju Melayu putih kemudian dibenarkan diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan selepas peguamnya, A.Parthiban mengemukakan rayuan.  

Selain itu, mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis terdekat bermula September ini.

Ramesh kemudian menetapkan 20 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Ridzuan yang ditemani anggota keluarganya membayar ikat jamin yang ditetapkan oleh mahkamah. - K! ONLINE