Tertuduh, Mohd. Fizal Mohd. Marzuki, 48, mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya itu dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah di sini, Rashidah Azmi.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh terhadap pertuduhan tersebut.

Mohd. Fizal didakwa mengedar heroin seberat 405 gram di tepi Jalan Kampung Naga bersebelahan Taman Seri Naga, Kepala Batas kira-kira pukul 5 pagi pada 11 Mei lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta minimum 15 kali sebatan.

Tertuduh pada prosiding sama turut dituduh memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 6.86 gram di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Dia mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan tersebut.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun serta maksimum sembilan kali sebatan.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 24 Julai depan untuk mendapatkan laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Shuhada Rizal sementara tertuduh diwakili peguam, K. Sobini. - K! ONLINE