Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, tindakan itu perlu dilakukan dengan kadar segera bagi mengelakkan mereka terbeban membayar cukai tersebut menggunakan wang sendiri.

“Meskipun para peniaga diberi kelonggaran kerana tiada sebarang tindakan diambil buat masa ini, tindakan melengah-lengahkan atau lewat mendaftar SST ini hanya akan merugikan peniaga sendiri. 

“Ini kerana mereka tidak boleh mengutip cukai berkenaan daripada pelanggan sekiranya tidak mendaftar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan taklimat tertutup kepada peniaga di negeri ini di sini hari ini. 

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri T. Sobramaniam. 

Menurut Guan Eng, sistem cukai baharu yang dilaksanakan kerajaan ini akan gunakan pendekatan yang lembut, mesra dan berjiwa rakyat. 

Katanya, semua peniaga supaya diingatkan supaya tidak 'berpura-pura' mengenakan SST kepada para pelanggan semata-mata mahu meraih keuntungan.

“Hanya peniaga yang memperoleh had pendapatan tahunan sebanyak RM1.5 juta ke atas sahaja yang akan dikenakan cukai tersebut.

“Jangan gunakan peluang ini untuk naik harga barang. Sekiranya tidak dikenakan cukai, jangan cakap atau pura-pura ada kenaikan barang kerana SST,” katanya. 

Sementara itu, Subromaniam memaklumkan masih terdapat penyedia-penyedia perkhidmatan yang belum melaksanakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap pengguna walaupun panduan mengenai pelaksanaan cukai itu telah bermula sejak 12.01 tengah malam tadi. 

Katanya, melalui tinjauan yang dilakukan pihaknya bermula tengah malam tadi, masih wujud segelintir peniaga yang masih belum mengemaskini sistem yang diguna pakai mereka bagi membolehkan kadar enam peratus dikenakan. 

“Bermula pukul 12 tengah malam tadi (semalam), kami telah melakukan lawatan mesra di beberapa restoran dan kami mendapati penyedia perkhidmatan ini belum mengemaskini sistem mereka. 

“Kita nasihatkan kepada mereka agar mengemaskini sistem dengan segera agar cukai perkhidmatan enam peratus dapat dikenakan kepada pengguna,” katanya. - K! ONLINE