Tiga persatuan itu adalah Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura (MSCSPGA), Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas).

Presiden MSCSPGA, Datuk Ho Su Mong berkata, larangan merokok di restoran atau premis makanan terbuka itu adalah tidak realistik dan tiada usaha oleh pihak berkuasa untuk menghentikan amalan merokok oleh perokok.

Beliau berkata, kerajaan tidak seharusnya mengenakan larangan merokok di restoran atau premis makanan terbuka melainkan ia memperkenalkan zon merokok atau kamar kecil untuk merokok seperti di negara maju iaitu di Jepun dan Singapura.

"Kamar kecil zon merokok yang transparensi ini boleh memastikan pelanggan yang tidak merokok, tidak terjejas dengan asap, ia hanya membenarkan beberapa orang perokok sahaja. Cara ini kita boleh memastikan atmosfera bersih dan bebas daripada asap," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada awal September, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, bermula 1 Januari 2019 peraturan larangan merokok akan dikuatkuasakan di semua restoran bertutup, berhawa dingin atau restoran dan warung berkonsep terbuka.

Dengan larangan itu, perokok yang ditahan di kawasan larangan akan didenda RM10,000 dan pengusaha makanan yang tidak mematuhi larangan ini boleh didenda RM2,500.

Walaupun pengusaha makanan membantah peraturan larangan ini, Su Mong berkata, ia tidak bermakna persatuan itu menggalakkan pelanggan mereka merokok tetapi menegaskan setiap individu mempunyai hak.

Su Mong berkata, beliau telah mengutus surat kepada kementerian untuk mengadakan perbincangan bagi mencari penyelesaian terbaik melalui kaedah menang-menang berhubung perkara itu.

Sementara itu, Presiden Primas, T. Mutusamy berkata, mengharamkan merokok di restoran atau premis makanan akan menjejaskan pendapatan mereka kerana hampir 40 peratus pelanggan adalah perokok.

Beliau berkata, kerajaan harus mengambil kira kesan dan kebajikan pengusaha makanan apabila melaksanakan larangan merokok itu dan berharap kerajaan akan menimbang semula keputusannya untuk menguatkuasakan larangan merokok di semua premis makanan. - Bernama