Seorang peguam dari Firma Guaman Skrine mewakili One City yang enggan didedahkan identitinya memberitahu, pemfailan notis taksiran ganti rugi dilakukan pada Selasa lalu susulan kegagalan penganut kuil dalam usaha mereka untuk menghalang syarikat itu daripada memasuki kawasan tersebut untuk tujuan perobohan.

Beliau berkata, Timbalan Pendaftar Ahmad Feisal Mohd Azmi menetapkan tarikh itu bagi memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk menyelesaikan perkara tersebut di luar mahkamah. 

“Pihak mahkamah memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk cuba menyelesaikan perkara ini di luar mahkamah. 

"Justeru mahkamah menetapkan 23 April ini untuk mengetahui sama ada kedua-dua pihak mencapai persetujuan atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu. 

Turut hadir peguam yang mewakili 50 penganut berkenaan, Dinesh Kunasekar. 

Pada 13 Februari lalu, Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Wong Kian Kheong menolak dengan kos permohonan bagi injunksi interlocutory oleh 50 penganut Kuil Sri Maha Mariamman selaku plaintif untuk menghalang One City daripada memasuki kawasan itu untuk tujuan perobohan.

Plaintif juga memohon antara lain, perintah untuk menangguhkan pelaksanaan writ pemilikan bertarikh 14 November 2017 yang diperoleh oleh One City. 

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati bahawa plaintif tidak mempunyai justifikasi yang wajar untuk tindakan terhadap pemaju dan tidak mempunyai “locus standi” di bawah Seksyen 9 (c) Akta Pertubuhan 1966 untuk memulakan tindakan saman.

Selain One City, plaintif juga menamakan K. Chellapan, yang disaman sebagai pegawai awam bagi pihak jawatankuasa pengurusan kuil, Sime UEP Properties Bhd., pengarah Perancangan Bandar dan Desa Selangor dan kerajaan Selangor sebagai defendan.

Dalam prosiding yang sama,  Kian Kheong turut membenarkan permohonan oleh One City, Sime UEP Properties, pengarah Perancangan Bandar dan Desa Selangor serta kerajaan Selangor untuk membatalkan saman oleh penganut kuil tersebut.

Plaintif turut diperintahkan membayar ganti rugi dan faedah pada kadar lima peratus setahun terhadap jumlah ganti rugi kepada One City berhubung semua kerugian yang dialami oleh pemaju yang timbul daripada akujanji.

Isu pemindahan kuil tersebut telah mencetuskan rusuhan pada 26 dan 27 November tahun lalu, berhampiran kuil, menyebabkan seorang anggota bomba, Muhamad Adib Mohd. Kassim, cedera parah sementara beberapa orang lain turut cedera, 23 kenderaan dibakar dan sebahagian One City Mall mengalami kerosakan.

Muhamad Adib, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu. - K! ONLINE