Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, kerajaan negeri Pahang serta agensinya perlu mempunyai sikap dan pemikiran yang progresif untuk beradaptasi dengan senario semasa selain memperkukuh keupayaan tenaga kerja yang berkemahiran serta penerapan teknologi dan inovasi berdaya maju.

Mengambil kira cabaran global semasa, ujar baginda, pengubahan tanah hutan untuk tujuan pembangunan tidak dapat dielakkan berikutan pembangunan pesat dan permintaan semasa rakyat terhadap keperluan pembangunan yang semakin menekan.

"Meskipun begitu, demi menjamin kemakmuran negeri ini, saya berharap agar semua projek pembangunan di Pahang diuruskan secara berhemah, mesra alam dan sensitif kepada kebajikan penduduk setempat," titah baginda ketika merasmikan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat negeri Pahang di Hutan Simpan Terla di sini hari ini.

Ketibaan Tengku Abdullah kira-kira 10.30 pagi disambut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob. - Bernama