Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pengurus lelaki berusia 44 tahun itu menyedari ditipu selepas membuat sembilan transaksi yang melibatkan wang RM90,000 pada Khamis lalu secara online.

Menurut beliau, pengurus itu pada mulanya menerima panggilan daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai staf sebuah bank dan memberitahu dia mempunyai hutang sebanyak RM3,376 dengan sebuah bank.

“Mangsa menafikan berkaitan hutang itu menyebabkan dia kemudian diminta berhubung dengan seorang pegawai polis wanita sebelum pegawai polis itu memberitahu mangsa telah terlibat dengan kegiatan wang haram,” kata beliau hari ini.

Beliau berkata, pegawai polis itu memberitahu, mangsa boleh dipenjara jika enggan memberi kerjasama menyebabkan mangsa akhirnya telah menyerahkan maklumat akaun milik syarikatnya serta kata kunci dan kata laluan perbankan internet kepada suspek kononnya untuk memindahkan wang ke Jabatan Audit untuk sementara waktu. - K! ONLINE