Perintah reman berkenaan dikeluarkan Majistret Rini Triany Muhamad Ali di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Sumber Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, lelaki berusia 50 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor di Persiaran Perbandaran, Seksyen 14, Shah Alam, 1.15 petang semalam.

"Suspek bertugas sebagai pengurus bahagian berkenaan dipercayai meminta dan menerima suapan secara bulanan sekitar RM500 hingga RM10,000 daripada pemilik syarikat berkenaan sejak 2006 hingga 2014.

"Ia sebagai dorongan untuk meluluskan dan memperbaharui permohonan sewaan tapak perniagaan di lapangan terbang di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut sumber, siasatan awal juga mendapati, duit sewaan tapak yang dibayar secara bulanan oleh syarikat barangan kemas tersebut dipercayai tidak dimasukkan ke akaun MAHB sebaliknya dimasukkan ke dalam akaun peribadinya termasuk bayaran suapan dengan jumlah nilai anggaran sebanyak RM90,000.

"Suspek turut dipercayai meminta dan menerima suapan daripada beberapa buah syarikat lagi untuk tujuan sama dan pengurus syarikat-syarikat terbabit akan dipanggil dalam masa terdekat untuk membantu siasatan," ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun. - K! ONLINE