Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kadar PSC di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pula dikekalkan pada kadar RM73 berikutan status lapangan terbang itu yang bertaraf premium.

Menurutnya, kadar PSC bagi penumpang sektor ASEAN dan domestik turut dikekalkan pada kadar RM35 dan RM11 bagi semua lapangan terbang di negara ini termasuk KLIA dan KLIA2.

“Bagi para penumpang yang telah membayar PSC dan akan membuat penerbangan mulai tarikh 1 Oktober, tuntutan bayaran balik boleh dibuat daripada syarikat penerbangan yang berkenaan.

"Pengurangan kadar PSC itu dilaksanakan melalui kaedah kontra User Fee dan ia bagi mengimbangi pengenaan Levi Pelepasan kepada penumpang-penumpang yang berlepas dari Malaysia," katanya pada sidang akhbar Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Awal bulan ini, syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia melancarkan petisyen bagi membantah PSC tambahan sebanyak RM23 daripada RM50 kepada RM73 seorang untuk penumpang yang melakukan perjalanan ke destinasi bukan ASEAN.

AirAsia dalam petisyen berkenaan berkata, pihaknya membantah caj yang dikenakan berikutan KLIA2 direka dan dikendalikan sebagai terminal penerbangan tambang rendah (LCCT) dan penumpang tidak perlu membayar PSC sama seperti di terminal KLIA yang infrastrukturnya lebih lengkap dan mewah.

Dalam perkembangan berbeza, Anthony berkata, kerajaan turut melaksanakan pengecualian syarat lesen, permit atau lesen import terhadap 54 barangan kargo bagi aktiviti kontena pindah kapal melalui kontena Full Container Load (FCL) di pelabuhan berstatus zon perdagangan bebas di negara ini.

Katanya, 54 barangan itu antara lain termasuklah haiwan, produk makanan dan hasil pertanian yang sebelum ini memerlukan permit import dari agensi berlainan seperti Jabatan Pertanian dan 
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

"Dalam Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 ini, ada 74 barangan yang sebelum ini memerlukan permit import.

"Kita keluarkan dua pertiga daripadanya dan baki 20 barangan seperti senjata, mercun, bunga api dan sebagainya yang penguatkuasaan syarat lesen, permit atau lesen importnya dikekalkan kerana melibatkan aspek keselamatan," katanya.\Anthony berkata, syarat lesen, permit atau lesen import terhadap 54 barangan kargo itu akan dikemas kini oleh agensi dan kementerian yang mengawal selia dan diwartakan sewajarnya bagi maksud melaksanakan keputusan kerajaan itu. K! ONLINE