Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, kempen berkenaan telah bermula sejak sebulan lepas yang merupakan sebahagian projek perintis yang akan dilaksanakan sehingga akhir tahun ini.

"Berikutan itu kami telah melakukan kaji selidik yang mana hampir keseluruhan responden menyatakan terlampau banyak pengumuman di lapangan terbang sehingga menimbulkan gangguan.

Konsep ini bukanlah sesuatu yang baharu di mana beberapa lapangan terbang serantau telahpun mengurangkan bilangan pengumuman yang dibuat," katanya pada sidang akhbar selepas Festival Tarian Tradisional Malaysia 2018 di KLIA hari ini.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Raja Azmi berkata, pihaknya juga telah menjalankan kaji selidik lanjutan selepas inisiatif tersebut dijalankan dan dapat dilihat hampir 98 peratus responden menyambut baik usaha itu.

"Dengan pengurangan pengumuman ini kami juga telah menggantikannya dengan lagu-lagu instrumental budaya Malaysia yang dapat memberi pengunjung mengalami suasana tulen Malaysia," katanya.

Terdahulu, Malaysia Airlines melalui ciapan di Twitter memaklumkan tiada lagi pengumuman di kedua-dua buah lapangan terbang itu dan meminta penumpang merujuk kepada papan informasi digital yang ada di dalam lapangan terbang untuk sebarang maklumat terbaharu dan penting.

Katanya, selama empat minggu projek perintis itu dijalankan, MAHB berjaya mengurangkan jumlah pengumuman sebanyak 63 peratus daripada lebih 500 pengumuman sehari.

"Oleh itu, pengumuman di KLIA dan KLIA2 kini hanya untuk panggilan terakhir, waktu solat dan pengumuman-pengumuman penting yang lain," katanya.

Tambah beliau lagi, sekiranya kempen berkenaan terus mendapat maklum balas yang baik pihaknya akan melaksanakan kempen yang sama di seluruh lapangan terbang kendaliannya. - Bernama