Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) , Azlinda Azman berkata, serbuan itu hasil maklumat awam dan risikan pihaknya terhadap aktiviti dilakukan penganut Syiah di kawasan tersebut.

"Kita turut menyita kain rentang, batu karbala, bingkai gambar, kitab dan buku berkaitan ajaran Syiah.

"Kesemua mereka termasuk pengerusi penganut tersebut dibawa ke Pejabat Agama Islam Daerah Gombak untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 12 (C) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Kata Azlinda, sekiranya disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun dan denda tidak melebihi RM3, 000 atau kedua-duanya sekali.

"Tindakan dilakukan JAIS adalah bertepatan dengan fatwa yang diwartakan pada 17 Oktober 2013 oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bahawa ajaran Syiah adalah bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar menurut Ahli Sunnah Wal Jama'ah. 

"Salah satu ajaran mereka ini menolak Ijmak Ulama, menetapkan Islam bukan syarat wajib haji dan pelbagai lagi yang boleh mengancam bahaya kepada umat Islam di samping menyebabkan perpecahan ummah," katanya.

Jelas beliau, pihaknya berharap orang ramai terutama di negeri ini menolak ajaran sesat ini sekeras-kerasnya selari dengan teks khutbah solat Jumaat yang dibacakan semalam.

"Kita akan terus memantau kegiatan ajaran ini bagi memastikan tiada aktiviti berkaitannya terutama majlis sambutan Hari Karbala yang disambut setiap 10 Muharam (Selasa depan)," katanya. - K! ONLINE