Menurutnya, wajahnya dikongsi sehingga 60,000 kali dalam media sosial berikutan kes beberapa ekor anjing ditemui mati di Taman Lavender Height dipercayai akibat diracun baru-baru ini.

Beliau mendakwa, penghinaan keatasnya di media sosial bermula selepas sebuah persatuan berkaitan haiwan mendakwa beliau terlibat dalam kematian anjing terbabit.

"Heboh satu negara mengatakan imam masjid membunuh anjing sedangkan haiwan itu ditemukan mati di luar masjid. Jarak anjing yang mati dengan masjid kira-kira 1 kilometer.

"Anjing masuk ke dalam masjid dan mati tetapi saya yang disiasat," katanya dalam dialong antara penduduk dengan pihak berkuasa berhubung isu kematian anjing terbabit di sini malam tadi.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan, Dr. Nik Hamidah Nik Husin dan kira-kira 200 penduduk taman perumahan tersebut.

Mohd. Asna disiasat polis selepas seorang penduduk mendakwa tiga ekor anjing termasuk seekor miliknya ditemui mati akibat diracun di taman perumahan itu antara 1 hingga 4 Januari lalu.

Beliau menjadi sasaran kecaman selepas tangkap layar perbualannya dengan penduduk berhubung isu anjing di perumahan itu menerusi aplikasi WhatsApp tular.

Dalam pada itu, Mohd. Asna mengakui terdapat gambar kejadian anjing mati di dalam telefon bimbitnya, namun ia gambar lama iaitu kira-kira tiga minggu sebelum kejadian baru-baru ini. 

Beliau mempersoalkan tindakan pihak berkuasa merampas telefon bimbitnya sedangkan dia telah memberi kerjasama penuh serta berharap ia dipulangkan segera. 

Sementara itu, seorang penduduk, Datuk Seri Abd. Rahim Mohd. Radzi berkata, penduduk 
Taman Lavender Height mempertahankan Pengerusi Masjid Ibnu Khaldun Lavender Height.

Kata beliau, penduduk Taman Lavender Heights sanggup dipenjarakan demi mempertahankan Mohd. Asna dan mereka mempertikaikan seorang penduduk yang membuat laporan polis mendakwa anjingnya diracun. 

Tegasnya, beliau dan isteri pernah diancam anjing semasa berjoging, manakala puluhan haiwan peliharaan penduduk seperti arnab dan kucing dibunuh anjing yang berkeliaran.

"Adakah dia bertimbang rasa dan rasional. Bagaimana dengan kucing penduduk yang mati dikerjakan anjing. Rumah dan masjid kami dimasuki dan dicemari najis anjing.

"Kami tak kisah mereka bela anjing di dalam rumah atau anjing mereka bising dan menyalak, tetapi ada anjing yang menyerang dan mengancam keselamatan penduduk walaupun aduan telah banyak kali dibuat," katanya. 

Sementara itu, Hock Poh berkata, kes tersebut masih dalam siasatan dan meminta semua pihak tidak menularkan perkara itu sehingga boleh menimbulkan kekecohan. 

Mengenai telefon bimbit milik Mohd. Asna, katanya, ia dalam siasatan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri dan berharap kedua-dua pihak bertemu dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara berkenaan. - K! ONLINE