Jawatan beliau adalah menerusi lantikan Yang di-Pertuan Agong.

Ini merupakan lantikan kedua Waytha Moorthy yang sebelum ini pernah dilantik sebagai senator pada 2013 namun beliau meletakkan jawatan selepas 10 bulan berkhidmat.

Turut mengangkat sumpah ialah Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad; Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Ketereh, Kelantan, Dr Mohd Radzi Md Jidin; Ketua PPBM Pulau Pinang Marzuki Yahya; Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong dan bekas Anggota Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka Datuk Ismail Ibrahim.

Masing-masing mengangkat sumpah sebagai senator buat pertama kali menerusi lantikan Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, buat pertama kali Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Hussain Awang mengangkat sumpah sebagai senator yang dipilih oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu manakala Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Asmak Husin dipilih oleh DUN Kelantan.

Kesemua mereka dilantik untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa hari ini bagi Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14 dan merupakan barisan pertama yang dilantik setelah Pakatan Harapan membentuk kerajaan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu. - Bernama