Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata, perlantikan Zulkefly bagi menggantikan Datuk Dr. Awaludin Said telah dipersetujui oleh Exco kerajaan negeri yang bermesyuarat hari ini.

"Upacara angkat sumpah kesemua Ahli DUN termasuk Yang Dipertua DUN dan Timbalan Yang Dipertua DUN akan berlangsung pada 2 Julai ini.

"Timbalan Yang Dipertua DUN akan disandang oleh ADUN Sri Tanjung, M. Ravi," katanya pada sidang media di Wisma Negeri di sini hari ini. 

Aminuddin berkata, jawatan Timbalan Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan diwujudkan bagi memberi ruang demokrasi kepada semua ADUN menyampaikan pandangan dan kritikan disamping memberi masa yang cukup kepada mereka untuk berhujah.

Sementara itu, Aminuddin memaklumkan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri akan diadakan pada 24 Jun ini di Dewan Orang Ramai Sikamat di sini.

Katanya, majlis yang dijadualkan bermula pada pukul 2 hingga 6 petang itu dijangka dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

"Kerajaan negeri turut mengundang Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan keluarga," katanya. - K! ONLINE