Tertuduh, Ros Azlina Mohd. Ismail, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Julie Lack.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa bertindak secara cuai sehingga menyebabkan kecederaan fizikal kepada Muhammad Zaheen Affan Mohamad Zulkarnain yang berusia tiga bulan.

Kesalahan tersebut dilakukan oleh Ros Azlina di sebuah rumah di Persiaran Iskandar Perdana 9, Seksyen 2 dekat Seri Iskandar kira-kira pukul 11.30 pagi pada Rabu minggu lalu.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Azman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Naidatul meminta ikat jamin sebanyak RM20,000 dikenakan terhadap tertuduh atas kesalahan tersebut.

Ros Azlina dalam rayuannya memohon mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin itu berikutan dia mempunyai tanggungan seramai sembilan orang anak.

Julie menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan tarikh 18 September depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Akhbar Kosmo! Sabtu lalu melaporkan, seorang bayi lelaki berusia tiga bulan patah tangan kanan dipercayai dipulas seorang pengasuh wanita di rumahnya di Seri Iskandar.

Kejadian terbongkar selepas bapa bayi itu mendapati terdapat kesan patah pada lengan anaknya ketika dijaga oleh pengasuh yang berusia 46 tahun.

Bapa mangsa telah menghantar bayi itu ke Hospital Changkat Melintang sebelum mangsa dirujuk ke Hospital Seri Manjung.- K! ONLINE