Perintah tahanan reman terhadap wanita berusia 23 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman Seremban, Haryatie Mohd. Saini selepas permohonan dibuat polis, pagi ini.

Reman bertujuan membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Terdahulu, wanita terbabit ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di sini pada pukul 8.45 malam tadi susulan laporan yang dibuat ibu mangsa, Zura Emilia Mokhtar, 26, pada hari kejadian Isnin lalu.

Kosmo! hari ini melaporkan, Muhammad Ummar Zayyan dimasukkan ke Pusat Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Tuanku Ja'afar Seremban selepas dipercayai mengalami pendarahan otak dan mata. 

Menurut ibu mangsa, dia dihubungi pengasuh pada pukul 7.07 malam yang memaklumkan anaknya dalam keadaan lemah setelah menangis dengan kuat di rumah pengasuh itu di Taman Sri Mambau di sini.

Bapa bayi itu kemudian pergi ke rumah pengasuh untuk mengambil anaknya yang didapati tidak sedarkan diri dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. - K! ONLINE