Tertuduh Noor Aqilah Abd. Rahman, 33, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Syafeera Mohd. Said.

Mengikut pertuduhan pertama tertuduh yang merupakan orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Adam Rayqal telah menganiaya bayi tersebut sehingga menyebabkan kecederaan di kepala.

Bagi pertuduhan pertama itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua tertuduh didakwa melupuskan mayat Adam Rayqal dengan niat untuk menyembunyikan kematian mangsa dan menyebabkan tertuduh terlepas daripada hukuman.

Hukuman bagi pertuduhan kedua itu dikemukakan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum tiga tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Nakhoda Kiri 3, Batu Caves di sini antara pukul 6.20 petang hingga 6.50 petang pada 3 Julai 2018.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya M.Arunjothy tidak menawarkan jaminan atas alasan kes tersebut berkepentingan awam dan telah menarik perhatian ramai.

"Namun sekiranya mahkamah ingin memberikan jaminam, pihak pendakwaan mencadangkan jumlah jaminan yang tinggi," katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam M. Dinesh dan Mohd Redzuan Mohamed Yusoff memohon diberikan jaminan dengan jumlah yang rendah atas sebab tertuduh menanggung kedua-dua ibu bapa dan mempunyai pelbagai masalah kesihatan termasuk penyakit darah tinggi, gout dan sakit jantung.

"Tertuduh sebelum ini bekerja sebagai tukang masak, bagaimanapun dia telah berhenti kerja itu dan mula memberi fokus sebagai pengasuh. Tertuduh yang belum berkahwin itu juga mempunyai seorang anak angkat berusia tiga tahun yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan sekarang anak angkatnya itu di bawah jagaan orang lain," kata Mohd Redzuan.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Syafeera membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin selain syarat tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan dua kali sebulan termasuk tidak menganggu saksi.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 Ogos ini untuk sebutan semula kes bagi laporan kimia, forensik dan bedah siasat. - K! ONLINE