Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Wan Ahmad Najmuddin sudah memberikan penjelasan kepada Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun bahawa wang tersebut adalah hasil penjualan rumah yang digunakan untuk membiayai pendidikan dua anaknya di negara tersebut.

“Kami terima kenyataan Wan Ahmad Najmuddin sebagai satu kebenaran dan saya percaya penjelasan yang diberikan berdasarkan bukti-bukti yang telah diberikan kepada Ketua Polis Negara dan beliau sudah melihat perjanjian jual beli rumah serta transaksi wang untuk membiayai dua orang anaknya di Australia.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau mana-mana agensi yang mahu menyiasat, mereka boleh siasat namun Wan Ahmad Najmuddin tidak perlu bercuti dan boleh bertugas seperti biasa kerana dia sudah patuhi semua prosedur,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pihak kementerian turut menerima penjelasan yang telah diberikan oleh Wan Ahmad Najmuddin. - K! ONLINE