Tertuduh, Ridzuan Mohamad, 33, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim S. Indra Nehru. 

Mengikut pertuduhan, Ridzuan didakwa melakukan kesalahan itu dengan meraba punggung mangsa berusia 16 tahun di Jalan FELCRA Changkat Lada-Ulu Dedap, Seberang Perak pada pukul 3 petang 20 Julai lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan dan hendaklah dikenakan perintah pengawasan polis minimum setahun dan maksimum tiga tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd. Radzi manakala tertuduh tidak diwakil peguam bela. 

Indra Nehru bagaimanapun menangguhkan hukuman terhadap tertuduh dan menetapkan 28 Ogos depan sebagai tarikh jatuh hukum. 

Sementara itu, tertuduh turut dibawa ke Mahkamah Majistret Parit untuk menghadapi dua lagi pertuduhan mencabul dua wanita di dua lokasi berasingan di daerah Perak Tengah. 

Sebelum pertuduhan dibacakan, peguam bela tertuduh, Ahmad Shamil Azad terlebih dahulu memohon mahkamah untuk membenarkan anak guamnya dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan di sini bagi menjalani penilaian dan analisis mengenai sakit mental yang dihadapi tertuduh. 

Tiada bantahan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim dan Majistret Mohd. Fitri Sadaruddin membenarkan tertuduh dirujuk ke hospital tersebut. 

Mahkamah menetapkan 19 September depan sebagai tarikh sebutan semula sementara menunggu keputusan analisis daripada hospital. 

Kosmo! Online hari ini melaporkan, seorang penganggur ditahan selepas dipercayai mencabul lima wanita di lokasi berasingan di sekitar daerah Perak Tengah sejak dua minggu lalu. - K! ONLINE